Sunday 30 August 2015

Jangan menipu


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
(Entry 12)

Keikhlasan hanya Allah yang menilai, selagi bermain di bibir belum tentu ikhlas, tambah bila mengungkit dan berkira memang sangat jauh dengan ikhlas.

Kita boleh menipu orang lain tetapi tiada siapa mampu menipu diri sendiri. Biar apapun yang kita lakukan.

Saya ingin bagi contoh dalam layanan. Cara kita layan pelanggan. Bila ikhlas akan terukir senyuman dan layanan yang bagus serta memuaskan tetapi bila jauh dari ikhlas muka masam mencuka, layanan yang teruk dan adakala kata-kata sinis yang keluar " nak beli...beli. Tak nak beli sudah "

Adakah kita akan menang ? Biarpun pelanggan tetap membeli tetapi muncul rasa tidak puashati dengan layanan kita. Rezeki juga menjadi sangkut di sebabkan perbuatan kita sendiri.

Memang sesetengah orang punya riak wajah serius, garang atau kelat tetapi sedarkah kita bahawa kita mampu mengubahnya. Latih muka untuk senyum dan lembutkan wajah. Sentiasa amalkan nanti akan terlihat perubahan. Jangan malu atau terasa pelik. Belajar perbaiki kelemahan diri.

Kerana setiap kita punya keinginan di layan dengan baik, begitu jugalah orang lain. Adakala layanan baik kita di balas dengan sinis atau tidak setimpal. Apa yang perlu di lakukan ? Adakah membalas balik ? Tidak.

Jangan samakan diri kita dengan mereka, bila kita membalas balik. Tiada beza antara kita dan mereka. Belajar memaafkan dan bersabar. Tidak rugi menjadi orang baik.

Keikhlasan tidak mampu di beli dengan duit, walau sekaya manapun seseorang itu.

Sekian. Jumpa lagi



Tips jualan


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
( entry 11)

Bismillahirahmanirrahim.

Saya ingin berkongsi dan memberi sedikit nasihat buat sesiapa sahaja yang berminat menjalankan perniagaan.

Bagi peniaga, khususnya pakaian cara menyusun barang dagangan sangat penting. Sama-ada menjalankan perniagaan di pasar malam, bazar atau di lot-lot kedai. Apa yang kita pamerkan dapat menambat hati pembeli atau tidak.

Sesetengah pelanggan tidak mahu masuk dan memilih apa yang kita jual bila apa yang di lihat tidak menyenangkan mata mereka, sebaliknya hanya memandang dari luar atau sekilas pandang.

Di sinilah pentingnya susunan yang elok dan teratur waima apapun barang dagangan kita. Kalau mata kita sendiri pun serabut memandang maknanya pelanggan akan lari. Harus buat pengubah-suaian segera.

Seringkali kita jumpa kedai yang semak, bersepah dengan barang dan kurang dari segi kebersihan, akan kurang mendapat sambutan, kurang pelanggan. Sikap tidak ambil kisah membuatkan kita mengeluh dengan pendapatan tetapi tidak mahu cari punca. Mengapa ia berlaku.

Sebaliknya bila melihat gerai yang cantik, kemas dan tersusun barang-barangnya membuatkan pelanggan tertarik. Terpukau mata yang memandang walau sekadar menjamu mata. Pelanggan sebegini akan datang semula bila ada keperluan di kedai kita.

Kadangkala ada di antara pelanggan yang membeli sebab dah tertarik dan sedekahkan barang tersebut pada saudara-mara kerana tiada keperluan baginya. Adakah ia pernah berlaku pada anda? Sebagai pelanggan atau peniaga.

Selain penyusunan, kebersihan juga perlu di titik beratkan. Walau di manapun kita menjalankan perniagaan, jalankan dengan niat yang betul, hati yang ikhlas dan sentiasa bersyukur dengan rezeki. Semoga membawa keberkatan di dalam hidup kita. Biar tidak kaya tetapi tidak pula meminta-minta.

Semoga bermanfaat dan jumpa lagi.

Wednesday 26 August 2015

Kehilangan


Teks:Shamliah Ibrahim
(Entry 10)
Bismillahirahmanirrahim.
Setelah menerima panggilan telefon dari anak saudara menyatakan ayahnya pengsan. Saya, suami dan adik bergegas kerumahnya.
Seharian hujan menyebabkan keadaan lalulintas agak teruk apatah lagi pada waktu puncak, bila orang pulang kerja. Hampir dua jam terlekat di dalam kesesakkan yang sebenarnya ambil masa setengah jam sahaja untuk sampai. Nasib baik abang kedua sampai dulu  melihat keadaan abang edy ( abang sulung).
Jarak masa lebih kurang empat puluh minit dari panggilan pertama, saya mendapat khabar abang edy telah tiada. Telah pergi buat selamanya.
Terkejut ? memang ya. Sangat terkejut. Berita yang agak sukar untuk di terima. Tak mampu menahan sebak di jiwa, air mata menitis laju. Puas memujuk perasaan sendiri, mungkin mereka tersilap.
Baru sedar sikapnya berubah, hubungan kami agak dingin kebelakangan ini menandakan sesuatu rupanya. Salah saya kerana tidak menjernihkannya kembali, kerana buat abang edy berkecil hati. Niat sebenar ingin membiarkan abang edy sejuk hati dahulu, mungkin masa yang akan memulihkan keadaan tetapi ianya kesilapan yang besar, kita tidak tahu sampai bila urusan kita di dunia. Allah beri masa yang cukup, cuma saya tak gunakan peluang sebaiknya.
Jangan lakukan kesilapan begini. Biasa bagi hubungan adik-beradik bila berkecil hati, terasa atau sebagainya cuma bila sedar kesilapan betulkan semula. Jangan tangguh-tangguh.
Bukan hanya saya seorang yang merasa kehilangan tetapi seluruh keluarga kami. Abang edy di sayangi oleh semua. Sikapnya yang menghormati orang lain, pandai berbual, cukup terbuka dan boleh menerima pandangan orang lain membuatkan dirinya cukup disenangi.
Teringat semasa saya di hospital untuk melahirkan anak pertama, abang edy di sisi memberi kata- kata semangat. Sanggup tunggu sampai nurse ingat suami. Setiap kali waktu melawat pasti akan ada dirinya. Jasamu tak terbalas abang. Kini tinggal kenangan. Terbayang satu persatu. Terlalu banyak kenangan manis antara kita.
Melihat jasad terbujur kaku, pilunya hati ini. Tak terluah kesedihan. Dapat menemanimu, mencium dahi dan memeluk jasadmu memberiku kekuatan.
Dalam jiwa yang bercampur baur antara percaya atau tidak kami lunaskan semua tanggungjawab dari awal sampai akhir. Hanya itu bakti yang dapat kami beri di akhir perjalanannya.
Syukur Alhamdulillah, Allah permudahkan semuanya buat abang edy. Seorang abang yang tak lekang dengan ucapan terima kasih. Sampai kini masih terngiang- ngiang suaranya, gurau sendanya dan gelak tawanya.
Dia seorang abang yang baik, yang cukup memahami dan sentiasa ada dalam apa juga keadaan. Perginya pada umur 47 tahun. Belum sempat melihat kelahiran cucu pertama. Kiniku terasa kehilangan, pergimu takkan kembali.
Semasa luahan ini di tulis, baru selesai majlis tahlil kali ke 2. Kami redha Allah menjemputmu pulang, selesai sudah urusan abang edy di dunia. Hanya iringan doaku kirim, moga damai abang edy di sana.
Al- fatihah buatmu abangku Saidi Ibrahim.



Sunday 23 August 2015

Memasak bersama


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto : Shamliah Ibrahim
(Entry 9)

Salah satu cara untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan ialah dengan memasak bersama. Aktiviti yang boleh di buat pada hujung minggu apabila semua ahli keluarga berkumpul.

Ia juga menjadi kebiasaan bagi keluarga saya. Bila sudah capai kata sepakat menu yang di pilih, kami sama-sama menyiapkannya. Menu pilihan hujung minggu kali ini ialah Mee Ketam.

Sambil berbual tangan berjalan, mengupas bawang, memotong sayur , menyiang ketam dan bahan-bahan lain. Masing-masing tahu apa yang perlu di buat.

Kerja menumis pula menyusul, kena ikut langkah satu persatu. Bagi yang belum biasa di dapur mungkin agak sukar sedikit , jangan pula di masukkan semua bahan-bahan sekaligus, tak pasal-pasal sakit perut pula. Nanti bila sudah biasa baru terasa mudahnya memasak.

Saya kongsikan resepi kegemaran keluarga saya, yang pasti ianya mudah di sediakan. Selamat mencuba.
Cara-caranya:
Tumis bawang putih, bawang merah yang telah di kisar sampai garing sedikit baru masukkan cili kisar, masak sampai pecah minyak atau garing. Masukkan  air diikuti ketam, kicap, sos tiram, sos cili dan kiub ikan bilis. Biar mendidih, kacau telur dalam mangkuk baru masukkan. Akhir sekali masukkan sayur sawi. Garam dan gula secukup rasa. Mee kuning dan taugeh celur. Daun bawang dan bawang goreng sebagai hiasan.

Friday 21 August 2015

Bila semua bercerita


Teks: Shamliah Ibrahim
Foto : Shamliah Ibrahim
(Entry 8)
Bismillahirahmanirrahim.

Bagi seorang ibu, walau sebesar manapun anak-anaknya, dia tetap menganggap mereka masih kecil.
Masih perlu di beri perhatian, berusaha untuk melindungi, memberi kasih sayang, mendoakan yang terbaik supaya hidup anak-anaknya diberkati baik di dunia mahupun di sana nanti. Begitulah hati ibu. 

Apa yang ingin saya kongsi di sini kali ini ialah sikap anak-anak saya yang seringkali tidak mahu beralah bila bab bercerita atau bercakap.

Menjadi kebiasaan bagi mereka bertiga,  bercerita mengenai apa sahaja yang berlaku kepada mereka, suka duka sedih gembira akan di kongsi dan ketawa bila cerita yang agak lucu.
Begitulah cara kami berbahagi kehidupan. Di sebabkan jarak usia antara mereka tidak jauh menjadikan mereka bagai kembar tiga.

Bayangkan bila harus memberi perhatian kepada ketiga-tiga sekaligus. Kadang-kadang yang sulung akan berkata kepada kakak  "biarlah along cakap dulu" bila dah di beri laluan, tak boleh berhenti pula. Mahu si kakak terus menunggu. Hurmmm

Baru mula hendak bercakap datang pula si adik, mengadu masalahnya, mana satu yang  perlu di dahulukan bila ketiga-tiga bercakap.

Begitulah sikap mereka bertiga, dari kecil sehingga meningkat remaja, masih serupa.
Bila mereka sibuk dengan urusan pembelajaran. Kadang kala saya rindukan situasi ini. Rindu gelak ketawa mereka, boleh tersenyum sendirian bila teringat gelagat mereka bertiga.

Harapan mama agar hubungan erat antara kita kekal selamanya. Sesungguhnya mama bertuah punya kalian bertiga. Anugerah yang cukup berharga. Terima kasih Allah.

Setiap ibu pasti mendoakan yang terbaik buat buah hati mereka begitu juga dengan saya dan saya pasti ramai ibu pernah melalui situasi seperti ini. 

Semoga kalian dalam rahmat Allah hendaknya. Sekian buat kali ini.
Jumpa lagi.

Thursday 20 August 2015

Motivasi usahawan


Teks: Shamliah Ibrahim
Foto : Shamliah Ibrahim
(Entry 7)

Bismillahirahmanirrahim.

Kita kongsi motivasi dari Dr Azizan Osman.

1. Setiap cabaran hanyalah satu proses untuk menjadi karektor anda lebih teguh dalam persediaan untuk menjadi jaguh di dalam hidup anda.

2. Perniagaan yang terbaik adalah perniagaan yang kita suka dan seronok jalankan serta menguntungkan dunia akhirat.

3. Belajar bersangka baik adalah salah satu cara bagaimana kita boleh memperbaiki hati dan menambah rezeki.

4. Orang yang kaya bukanlah terletak kepada berapa banyak wang yang dia ada tetapi orang yang kaya adalah orang yang boleh memberi walau sedikit.

5. Walaupun seorang yang berjaya itu kita lihat nampak tenang dan bersahaja, mereka sebenarnya sedang bekerja keras dan bertungkus lumus dalam usaha mencapai kejayaan.

6. Matlamat utama berniaga bukanlah untuk menjadi jutawan tetapi menjadi dermawan. Mudah-mudahan dengan asbab berniaga mengikut sunnah, rezeki kita lebih dan dapat memberi lebih agar hidup di berkati. More you give, more you will get back sama ada di dunia atau di akhirat. Give first and give more.

7. Hendak memulakan sesuatu perniagaan tidak memerlukan banyak modal. Jika mempunyai ilmu dari rm 1 boleh menjadi rm 1 juta tetapi jika tidak mempunyai ilmu, wang berjuta pun boleh lesap.

Cukup sampai di sini buat kali ini. Tuang banyak- banyak nanti melimpah pula. Semoga ia membawa manfaat buat kita bersama.
Jumpa lagi.
Jom layan gambar.

Diari bisnes di up-town


Teks: Shamliah Ibrahim
Foto: Shamliah Ibrahim
(Entry 6)

Bismillahirahmanirrahim.

Perniagaan bermula agak lewat, pada jam 8 malam barulah gerai di buka. Kerja kerja seperti memasang khemah, menyusun barang memerlukan masa lebih kurang satu jam untuk di siapkan.

Pada masa ini biasanya orang sudah mula ramai. Bermulalah tugas melayan kerenah pelanggan-pelanggan cilik. Bukanlah menjadi sesuatu yang sukar menepati citarasa kanak-kanak. Mereka lebih mudah di urus sebenarnya.

Di awal usia setahun lebih atau dua tahun kebanyakkan ibubapa sudah memberi kebebasan pada kanak-kanak untuk memilih sendiri apa yang mereka mahu.

Kita dapat melihat dengan jelas ketelusan kanak-kanak. Tiada yang tersembunyi. Apa yang mereka suka atau tidak.

Bila permintaan di penuhi mereka tersenyum riang tetapi sebaliknya menangis meraung bila keinginan tidak tertunai.

Ada juga di kalangan ibubapa suka memaksa anak-anak mengikut keinginan mereka. Di sebabkan pilihan anak-anak tidak menepati citarasa mereka membuatkan ibubapa tidak mahu mengalah. Adegan pujuk memujuk berlaku.

Bila berlaku situasi begini, kita akan menjadi orang tengah bagi menyelesaikan masalah. Lihat dulu siapa yang perlu mengalah. Kalau tidak sianak akan dapat keduanya. Pilihan sendiri dan pilihan ibubapa.

Kepuasan akan datang bila pelanggan berpuas hati dengan produk dan layanan. Apa yang kita beri membuatkan pelanggan akan datang semula.

Sekitar jam 3 pagi, gerai akan di tutup. Sepertimana ianya di buka, masa tutup juga lebih kurang sama. Berlumba-lumba dengan rakan sekeliling menyiapkan kerja bila mahu pulang.

Sampai disini perkongsian kita kali ini.

Jumpa lagi.


Wednesday 19 August 2015

Tips memilih produk jualan


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto : Shamliah Ibrahim
(Entry 5)

Di sini saya ingin berkongsi serba sedikit tentang tips memilih produk jualan.

Memilih barangan jualan memerlukan ketelitian dan citarasa. Produk yang tepat akan membantu meraih keuntungan lebih cepat.

Berhati-hati dengan produk mengikut trend semasa. Adakalanya stok masih berbaki , tidak dapat di habiskan sudah keluar produk baru.

Harga biar sepadan dengan kualiti, lebih baik buat perbandingan dahulu.

Kebiasaannya kita rambang mata, terlalu mengikut kehendak sehingga tersalah buat pilihan. Akibatnya barang tersebut tidak mendapat tempat di pasaran. Seringkali perkara begini terjadi bila terlalu ghairah dalam membuat pilihan.

Jangan mudah terpedaya dengan taktik pemborong. Mereka pandai memujuk rayu untuk menghabiskan simpanan stok- stok mereka.

Peka dan tahu kehendak pelanggan.

Jangan suka meniru. Kebanyakkan peniaga suka ambil jalan mudah, tidak mahu mencari atau memilih sendiri tetapi meniru produk atau barangan.

Kepuasan berniaga bergantung kepada cara kita kendalikannya. 

Harap bermanfaat

Jumpa lagi






Tuesday 18 August 2015

Produk


Teks: Shamliah Ibrahim
Foto: Shamliah Ibrahim
(Entry 4)

Keterangan produk :

Menjual pakaian kanak-kanak dari seawal usia baby ( 0-3 ) bulan sampai kanak-kanak berusia 8 tahun.

Kebanyakkan produk dari jenis fabrik cotton. Pakaian kanak- kanak sangat sesuai dengan fabrik jenis ini kerana ia lembut, mudah di basuh, selesa di pakai, kain yang mesra pengguna dan menyerap peluh.

Pelbagai jenis dress dengan corak dan warna menarik sangat sesuai untuk kanak- kanak perempuan.

Terdapat juga eksesori buat mereka. Kanak- kanak sekarang sudah pandai bergaya. Melihat keletah sikecil melaram tersenyum gembira ibubapanya.

Bagi kanak-kanak lelaki pula T-shirt bercorak 
askar kini mendapat sambutan. Ianya dapat
menanam semangat patriotik di kalangan mereka.

Promosi pula akan di adakan dari masa ke semasa di laman sosial pada kadar harga mampu milik

Catatan pengalaman


Teks: Shamliah Ibrahim
Foto : Shamliah Ibrahim

( Entry 3)

Bismillahirahmanirrahim.

Sering kita dengar, jangan mengalah walaupun berkali- kali gagal. Mungkin masanya belum tiba untuk menuai kejayaan.

Kita mempunyai pandangan tersendiri. Bagi mereka yang tabah, kegagalan bukanlah apa-apa, malah semakin menguatkan mereka.

Bagi sesetengah orang pula, mencari balik semangat yang hilang bukannya sekelip mata, tidak semudah kata. Ianya
memerlukan masa.

Mahu atau tidak, sedia atau sedih. Begitulah kegagalan. Cuma cara kita menghadapinya. Kegagalan mematangkan kita.

Bangkitlah teruskan usaha, cari di mana silapnya. Belajar memperbaiki diri. Bina kembali impian dan pastikan impian baru tidak tersasar.

Paling penting niat dan jaga hubungan kita dengan Allah. Mudahan Allah jaga hubungan kita dengan orang lain.

Jumpa lagi.

 

Monday 17 August 2015

Catatan harian



Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
( Entri 2)


Bismillahirahmanirrahim.

Mula menulis...
Bukan mudah bila keluar dari kepompong , lihat dunia maya.Khabarkan keindahan pada semua. Harus di ingat pula, coretan dan perbuatan biarlah seimbang.

Apa perlu ditulis?
Ianya bermain di kotak fikiran.
catatan harian.

Setiap orang meneroka kehidupan dengan cara sendiri. Ingin bebas melakukan sesuatu, punyai banyak masa terluang, Bahagia dan gembira, kewangan yang baik.

Tetapi kita harus sedar tidak semua yang kita mahu kita miliki. Hidup ini ujian.

Apa yang saya lalui, kehidupan yang biasa, seperti orang lain. Dengan rutin harian sebagai ibu.

Tanggungjawab terhadap keluarga bukan boleh di pejam mata, biarkan saja.

Tanggungjawab sebagai hamba lunaskannya.
mudah tapi payah bila terleka, sukar tapi senang bila hidup mengikut ketentuan.

Hanya sekadar catatan biasa dari insan biasa.Jumpa lagi

Sunday 16 August 2015

Tentang Penulis


TEKS: SHAMLIAH IBRAHIM
Foto : SHAMLIAH IBRAHIM
(Entri 1)

Bismillahirahmanirrahim

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. dengan izin dariNya kita di pertemukan dalam blog dengan title kedai online Shamliah Ibrahim, syukur Alhamdulillah dari angan-angan ianya bermula.

Serba ringkas tentang saya, status berkahwin, memiliki 3 orang cahayamata yang sedang meningkat remaja. Di beri nama yang agak unik, lahir di daerah hulu perak, anak keempat dari enam orang adik-beradik, suka menulis, memasak dan mencuba resepi. Seorang yg simple tapi tegas, agak pendiam tapi kecoh bila serasi serta mudah di dekati.

Langkah pertama di dalam bidang perniagaan bila di hadiahkan gerai oleh suami bertempat di Chow Kit sekitar tahun 90an. Di sebabkan ingin mencuba, memasuki pasaran ekspo adalah langkah seterusnya selang beberapa tahun kemudian.Dari perniagaan hardware, kasut sukan , pakaian lelaki kini lebih serasi dengan pakaian kanak-kanak.

Melihat keletah sikecil seronok bergaya dan teruja dengan pakaian baru memberi inspirasi untuk mencari sesuatu yang selesa dan sesuai buat mereka , kegembiraan mereka kepuasan bagi saya ,kini saya menjalankan perniagaan di up-town Danau Kota.

Akhir kalam. In sha Allah, moga di sini menjadi medium buat kita berkongsi tips perniagaan, pengalaman serta coretan kehidupan. Terima kasih Allah, terima kasih keluarga serta terima kasih semua. Jumpa lagi