Sunday 15 November 2015

Masa

Teks : Shamliah Ibrahim
Entry : 44

Assalamualaikum ,

Sihatkah anda ? Saya berharap anda semua sihat serta berada dalam lindunganNya dan semoga setiap urusan kita di berkati dan di redhaiNya.

Sudah agak lama menyepi,

Kesukaran untuk berbahagi masa di antara kerja, anak-anak dan tugasan di rumah sering membelenggu diri.

Kesesuaian kadang kala tidak hadir serentak, membuatkan saya gagal mengawal keadaan.

Kepenatan, kerenah anak-anak dan tanggungjawab yang perlu di langsaikan membuatkan diri larut dalam emosi.

Sehingga ada yang mengambil keputusan berhenti kerja, bila 24 jam yang di peruntukan setiap hari menjadi terlalu pendek.

Biar apapun yang kita lakukan, rancanglah masa sebaik mungkin. Hargailah insan di sekeliling kita terutama anak-anak, sememangnya mereka mengharap perhatian dan kasih sayang yang tulus dari kita.

Sekian, semoga jumpa lagi.

Wednesday 14 October 2015

Awal tahun, Azam baru


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
Entry 43

Semangat membuak memulakan tahun baru hijrah, pelbagai azam dan matlamat di susun. Sesempurna mungkin aturannya.

Minggu pertama masih utuh, mengikut jadual, berusaha sedaya mampu melunaskannya. Azam masih berbisa.

Memasuki minggu kedua, mula surut dua  puluh lima peratus keinginan meneruskan azam tersebut, bermula halangan sedikit demi sedikit.

Sampai di minggu ketiga hanya tinggal lima puluh peratus, kesibukan urusan harian membuatkan agak terleka. Kemahuan pula semakin menurun.

Sebulan berlalu, alasan demi alasan di cipta. Nantilah, biar dululah, sempat lagi lah dan tunggu ada masa sambunglah.

Dan beberapa bulan kemudian, azam terbiar sepi.

Begitulah bila tiba tahun baru, memulakan semula azam baru. Azam lama sudah terbengkalai.

Bukan semua orang begitu, tentu anda semua konsisten dengan azam masing-masing dan berjaya berjuang memulakan azam baru bila azam lama telah berjaya di tunaikan. Tahniah buat anda.

Semoga di tahun ini menjadikan kita insan yang lebih baik dari tahun sebelumnya. Saya baru memulakan azam. Doakan saya berjaya melunaskannya dan saya juga mendoakan anda semua.

Sekian terima kasih, jumpa lagi. 

Jom dapatkan koleksi t-shirt dan skirt buat si comel. Boleh tinggalkan pesanan di sini atau datang terus ke lot 300 Uptown Danau Kota.

Monday 12 October 2015

Yakin


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
Entry 42

Di setiap langkah bukan kita yang tentukan sama ada kejayaan atau kegagalan yang menanti.

Takut untuk meneruskan atau terlalu berhati-hati sehingga tidak mahu mencuba lagi kerana sering gagal akan meletakkan diri kita hanya pada satu tahap.

Bangkit setiap kali jatuh, menjadikan kita lebih kuat untuk berdiri.

Bohong andai tidak terkesan bila kejayaan di idam, kegagalan bertandang.

Pasti rasa tersentap, terduduk dan lebih parah jika tersungkur.

Di selubungi kekecewaan, hilangnya keyakinan dan tertekan. Tentu semua orang melaluinya.

Yang penting, jangan mengulit perasaan,jangan ambil masa yang panjang, merawat dan memperbaiki. Jangan berterusan menyalah dan menghukum diri serta jangan keterlaluan bergantung walau memang memerlukan sokongan.

Gagal bukan untuk di tangisi, orang lain hanya akan memandang simpati, harus sedar kita yang patut menyokong dan memberi peluang, kalau bukan diri sendiri mahu mengharap siapa lagi.

Bina semula kekuatan, cari kelemahan, bangkitkan semangat baru, terima kekalahan dan teruskan perjuangan.

Belajar dari kesilapan, mohonlah pertolongan dan sentiasa bersyukur, perbaiki hubungan kita dengan Pencipta. Dialah yang memberi rezeki dan keberkatan.

Saturday 10 October 2015

Senyum


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
Entry 41

Senyum, senyum selalu
Senyum, senyum dengan ku
Tiada seindah senyumanmu
(aziz harun-senyum)

Sedekah yang paling mudah adalah sebuah senyuman. Walaupun begitu ia agak payah untuk di ukirkan.

Senyuman boleh membuat seseorang awet muda kerana dengan tersenyum seorang kakak di sangka adik.
(pengalaman saya ni)

Dengan sebuah senyuman manis, hati yang panas menjadi sejuk. Jadi mengapa sukar benar terlukis di wajah.

Senyum membawa rezeki kerana apabila terukir ikhlas boleh mencair hati pelanggan. Dari mahu beli satu ke dua, dari sikit kepada banyak. Siapa tahu bukan.

Senyuman juga memberi kebahagian kepada diri kita sendiri dan orang di sekeliling kita.

Tersenyumlah, semoga senyuman anda mengembirakan orang lain. Jumpa lagi

Friday 9 October 2015

Penawaran


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
Entry 40

Dari pengalaman saya, pelanggan boleh di bahagi kepada beberapa kategori,ada yang jenis.

1. Sangat mudah
Apabila lihat, ambil dan bayar.

2. Sederhana.
Melihat, ambil, tawar dan bayar.

3. Pandai menawar.
Melihat kemudian tawar-menawar, beli atau tidak bergantung pada harga permintaan.

4. Tidak konsisten.
Berminat tetapi tidak pasti, sekejap mahu sekejap tidak.

5. Ikut kawan.
Suka minta pendapat orang lain. Kawan yang mempengaruhi sama ada membeli atau tidak.

6. Rambang mata.
Melihat dan membelek, pusing satu kedai kemudian berlalu.

7. Cerewet.
Semua benda di teliti dahulu, dari jahitan, sisa benang, warna, tawar-menawar dan langsung tidak boleh berkompromi.

Anda pelanggan yang bagaimana?

Walau di manapun kategori anda, tidak salah. Semua orang berhak mendapat sesuatu yang terbaik setelah membuat pembayaran.

Jangan marah, sekadar perkongsian dari pemerhatian. Jumpa lagi

Jom dapatkan koleksi baju tidur hello kitty buat si manja anda. Order disini atau datang ke lot 300 uptown Danau Kota.

Thursday 8 October 2015

Ciri-ciri perlu ada bagi seorang peniaga.


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto : Shamliah Ibrahim
Entry 39

Bagi seorang peniaga pasar malam dan bazar ini antara ciri-ciri yang perlu ada.

1. Tahan lasak
-Kerjanya yang agak sukar, perlu pasang khemah atau payung, pasang besi untuk menyusun barang-barang dagangan. Punggah serta kemas barang setiap kali buka dan tutup ke stor atau van.

2. Kuat semangat
-Perlu jiwa yang kuat dan teguh apabila menghadapi kesukaran dalam persaingan, sabar dengan kerenah pelanggan dan juga keadaan cuaca tidak menentu seperti panas dan hujan.

3. Rajin
-Mesti kuat bekerja, gigih serta tekun berusaha.

4. Minat
-Akan mendatangkan kesungguhan dan tidak mudah jemu.

5. Pandai bercakap
-Tidak semestinya peramah, cuma perlu senyum juga tahu melayan pelanggan.

6. Jimat
-Bijak mengurus akaun supaya tidak makan modal.

7. Tetap pendirian
-Bukan sesuka hati mencuba, suka meniru, pantang melihat orang lain jual, kita mengikut. Belum pulang modal, sudah cuba barang lain pula.

8. Jujur
-Jangan menipu pelanggan dengan kualiti produk dan harga.

9. Bersyukur
-Redha dengan rezeki, sedikit atau banyak.

10. Berserah
-Jaga hubungan kita dengan Allah. Kelangsungan sesuatu yang kita buat bergantung bagaimana hubungan kita dengan Pencipta.

Sekian, semoga bermanfaat. Jumpa lagi.

Jom intai saya di Uptown Danau kota untuk mendapatkan gaun frozen yang cantik ini.


Wednesday 7 October 2015

Ku sudah biasa...sudah biasa


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  :Shamliah Ibrahim
Entry 38

Tentu ada antara kita pernah pergi dan biasa berbelanja di pasar kemboja. Pasar yang di monopoli oleh peniaga-peniaga melayu kemboja.

Apa yang ingin saya kongsi di sini ialah cara mereka, baik dari segi layanan mesra dan menghormati pelanggan.

Tutur kata yang manis, sabar, pandai memujuk serta lemah lembut membeli hati pembeli. Produk yang di tawarkan pula biasanya lebih murah.

Sebenarnya kebanyakkan mereka telah di asuh dengan cara begitu. Pernah berjiran niaga dengan kelompok mereka, sesuatu yang saya perhatikan pelanggan tidak keluar dengan tangan kosong, pasti akan ada bungkusan plastik di jinjing.

Kita lihat perbezaan antara kita dan kelompok melayu kemboja ini.

Tentu bagi sesetengah peniaga, merasakan agak menyampah melayan kerenah pelanggan yang cerewet, banyak songeh dan suka memaksa. Apatah lagi bila sesuka hati membuat penawaran yang tidak masuk akal.

Memang agak sukar memuaskan hati semua orang terutama waktu kita sedang di himpit masalah sendiri. Memikul bebanan membuatkan kita tertekan.

Benar kita juga manusia biasa yang tak lekang di uji. Bila tidak melalui tidak akan memahami tetapi "alah bisa tegal biasa"

Belajarlah dari kesilapan, melepaskan geram pada pelanggan bukan penyelesaian. Pasti akan terdetik rasa terkilan di hati.

Harap kita akan terus ke hadapan. Jangan pula sampai sudah berdiri, kemudian terduduk dan kembali meniarap.

Sekadar peringatan buat kita semua, semoga memberi manfaat. jumpa lagi

Stok baru sudah tiba, siapa lambat pasti terkilan. Dapatkan untuk buah hati anda, harus tersenyum lebar sang puteri menerimanya.

Boleh tinggalkan pesanan di sini. Wsapp 0176316990 atau datang ke lot 300 Uptown Danau Kota.

Saturday 3 October 2015

Malam minggu


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
Entry 37

Jam sudah menunjukkan angka 2 pagi, saya masih di sini melayan kemahuan pelanggan membeli pakaian buat anak-anak.

Biar mata wang menurun, ekonomi tidak menentu keadaan di up-town Danau Kota masih meriah. Pengunjung masih bertali arus.

Seorang kawan bertanya, dari mana datangnya orang ramai malam-malam begini kerana baginya malam masa untuk berehat setelah seharian penat bekerja.

Jawapan saya, malam minggu malam warga kota keluar berhibur, bertemu kawan-kawan atau bersama keluarga, jalan-jalan sambil cuci mata, yang pasti poket pun boleh kering juga. Lain orang lain coraknya.

Meskipun seronok berbelanja, pastikan anak-anak sentiasa dalam pengawasan, kelekaan kita bakal mengundang bahaya buat mereka.

Sekian catatan harian saya. Jumpa lagi.

Jangan lupa dapatkan koleksi baju tidur spiderman buat anak-anak.

Friday 2 October 2015

Tabiat


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  :Shamliah Ibrahim
Entry 36

Menjadi kebiasaan bagi sesetengah orang suka mengunyah makanan bila berkunjung dan berjalan-jalan di bazar.

Tidak mengapa itu hak masing-masing.

Tambahan pula sangat mudah mendapatkan makanan ringan seperti keropok lekor, aiskrim, buah-buahan bersalut coklat, kek dan pelbagai jenis manisan lain.

Di mana-mana bazar sekalipun memang ada ruangan khas bagi peniaga makanan ini.

Cuma yang tidak enaknya, bila tangan sudah berminyak, melekit mereka mengambil jalan mudah. Mengelap di mana -mana gerai menjual pakaian, dengan alasan mahu melihat-lihat dahulu.

Sedarkah anda telah menganiaya peniaga tersebut. Mana ada pelanggan yang mahu memiliki pakaian yang telah kotor, di cemari tangan-tangan ini.

Nampak mudah tetapi inilah tabiat orang kita. Sesuatu yang milik dia, sebaik mungkin di jaga sebaliknya milik orang lain langsung tidak di pedulikan.

Bila situasi begini berlaku pada anda, bagaimanakah cara terbaik anda menanganinya?

Saya tinggalkan anda dengan persoalan. Pernahkah anda melakukannya, hanya anda yang tahu. Sekian buat kali ini. Jumpa lagi.

Menghargai


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
Entry 35

Setiap detik dalam hidup, kita seringkali terlupa untuk menghargai. Baik budi sesama kita atau antara kita dengan Pencipta.

Biasakah kita menghargai sebuah kehidupan?

Mampukah kita menghargai satu perhubungan?

Sudahkah kita menghargai secebis pertolongan?

Mahukah kita menghargai nilai kasih sayang?

Sediakah kita menghargai setulus persahabatan?

Seringkah kita menghargai suami dan anak-anak?

Sudahkah kita menghargai ibu dan ayah?

Biasakah kita menghargai adik-beradik?

Sediakah kita menghargai orang lain?

Mahukah kita menghargai diri sendiri?

Perlukah kita menghargai semua itu?

Jawapannya ada di dalam diri kita masing-masing kerana setiap kita  berbeza cara menghargai.

Jangan hanya melihat dengan mata kasar, lihatlah dengan mata akal dan mata hati.

Jika kita tidak menghargai diri kita, maka kita tidak akan menghargai kesemuanya yang kita miliki.

Sekian catatan kali ini. Semoga bermanfaat cari jawapan seikhlas hati. Jumpa lagi.

Bagi yang berminat untuk memiliki baju tidur ultraman buat anak-anak boleh cari saya, di sini atau datang terus ke lot 300 Uptown Danau Kota.

Thursday 1 October 2015

Mencari


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
Entry 34

Menyusur sebuah ke sebuah kedai, memilih produk baru bukan kerja yang mudah. Berada di tempat asing, persekitaran dan bahasa yang berbeza secara alami akan membuatkan kita lebih berhati-hati dalam setiap hal.

Bersimpul urat kaki bila asyik berulang-alik dari hotel penginapan ke tempat pemborong dalam jarak lebih kurang 500 kilometer sehala, menghantar barangan yang telah siap di beli.

Kenapa perlu buat begitu?

Mana mungkin 2 orang perempuan melayu terakhir ini mengangkatnya kalau banyak sangat.

Ini cara saya, mungkin berbeza dengan cara orang lain. Boleh saja upah orang mengangkat atau bila banyak sampai berguni syarikat pemborong akan menghantar mengikut permintaan kita.

Selepas siap makan malam, setelah beberapa hari mengumpul, stok barangan di masukkan ke dalam guni dan di susun sepadat mungkin, nanti akan di jahit dan di hantar ke pusat penghantaran untuk di bawa balik melalui perkapalan.

Selesai semuanya, cari minyak urut, sapu dan rehatkan kaki. Supaya lena tidak  terganggu dengan kekejangan otot atau di sebelah utara biasa di panggil tarikan mengkarong. Mahu jeritan kecil akan memecah keheningan malam.

Walau keletihan, kelelahan dan kepenatan menjadi sebati namun ia memberi kepuasan dan keseronokkan.

Sekian buat kali ini. Jumpa lagi

Berminat boleh order di sini atau terus ke lot 300 Uptown Danau Kota.

Wednesday 30 September 2015

Rungutan


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
Entry 33

Kita merungut bila terpaksa melakukan sesuatu bukan di atas keinginan kita contoh benda yang melibatkan duit, masa atau orang lain.

Duit bila tidak cukup atau seringkali di pinjam, masa bila kena menunggu dan orang lain bila sewenangnya mempergunakan kita.

Rungutan menjadikan kita tidak redha di atas setiap perbuatan, kadangkala terjadi tanpa kita sedari ataupun terperangkap dengan rasa tidak puas hati.

Adakah merungut menyelesaikan masalah, menghilangkan ketegangan atau menenangkan hati. Sudah tentu tidak bukan.

Walau terjadi bukan atas permintaan mungkin di sebabkan persekitaran yang menyebabkan hilang pertimbangan ianya tetap harus dikawal supaya sikap negatif ini tidak memudaratkan.

Jangan biar rungutan terus menghuni diri. Seharusnya kita perlu bijak bertindak menangani diri kita dan orang lain. Sekian catatan buat kali ini. Jumpa lagi

Sebelum terlupa, stok baru baju sudah tiba bagi bayi berusia tiga bulan ke atas. Berminat boleh tinggalkan pesanan di sini atau datang terus ke lot 300 Uptown Danau Kota.

Thursday 17 September 2015

Persaingan


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
Entry 32

Dalam kehidupan ini, kita memang bersaing sama ada sedar ataupun tidak.  Persaingan berlaku di dalam diri bila kita berlawan untuk menjadi lebih baik atau lebih buruk.

Persaingan boleh berlaku bila kita merasakan kita mampu lakukan sesuatu lebih baik dari orang lain. Baik dalam keluarga atau dengan jiran tetangga.

Persaingan berlaku di dalam perhubungan suami isteri bila masing-masing tidak mahu mengalah, bersaing benda yang elok sangat bagus. Jangan pula bersaing perkara yang buruk.

Begitu juga persaingan dalam perniagaan. Ada yang menaikkan kita, ada pula yang akan menjatuhkan kita.

Saingan yang menjatuhkan, masing-masing berlumba menurunkan harga. Mahu mematikan antara satu sama lain.

Bila makan modal, tidak mampu membayar gaji pekerja, sewa kedai tertunggak dan akhirnya bermasalah.

Bijaklah bersaing, kenali pesaing kita supaya tidak terperangkap dalam persaingan tidak sihat.

Selamat bersaing. Semoga kita menjadi lebih baik dengan izin Allah.sekian jumpa lagi.

Bersih


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
Entry 31

Sanggupkah kita makan bila melihat pekerja di sesebuah kedai makan atau restoran yang menyenduk nasi atau lauk ke dalam pinggan di banjiri peluh.

Memang sesetengah orang sangat kuat berpeluh, haruskah di biarkan peluh itu menitis. Bukahkah lebih baik di kesat dahulu.

Bagaimana pula bila melihat seorang pekerja membuat air, mengorek hidung dan kuku pula kotor.

Bukan bermaksud membuat anda kembang tekak tetapi ini kebiasaan terjadi bila mengambil pekerja asing bekerja.

Bab kebersihan di pandang ringan, mereka mungkin sudah biasa begitu. Adakah kita juga biasa ? Bagaimana bila anda melihat perkara sebegini depan mata ?

Majikan pula jangan hanya fikir keuntungan, mahu bayar gaji murah. Sering-seringlah lakukan pemeriksaan ke atas pekerja.

Makanan di rumah yang terbaik, lebih sanggup menahan lapar dari makan makanan tidak bersih. Pastikan apa yang masuk ke mulut kita bukan virus yang membawa penyakit.

Semoga bermanfaat dan jumpa lagi.

Jom intai saya di tapak 300 up-town Danau Kota.

Wednesday 16 September 2015

Balasan


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto : Shamliah Ibrahim
Enrty 30

Saya ingin berkongsi satu kisah, semoga menjadi tauladan buat kita. Dalam apa jua yang kita lakukan.

Seseorang yang saya kenal, memiliki kedai yang tidak putus di kunjungi pelanggan setiap hari, setiap hujung bulan pula ke luar negara mengambil stok barangan baru.

Membuka banyak cawangan kedai dan ramai pekerja. Punya kehidupan yang mewah.

Tetapi semua itu hanya sementara, bila tidak bersyukur. Balasan yang dapat lebih teruk dari kesenangan yang di kecapi.

Kini kedai sudah pun di tutup, terlantar sakit dan asyik berulang alik ke hospital, puncanya sihir dan suka mengunakan ilmu hitam.

Membenci tanpa sebab, cemburu tanpa alasan, sehingga tergamak menutup rezeki orang lain.

Padahal orang yang di ganggu itu tidak menganggu perniagaan atau hidupnya. Hanya di sebabkan beberapa masalah kecil, wujud antara mereka berpunca dari sikap sendiri yang tidak mahu mengalah.

Begitulah sesetengah orang bukan mahu menilai atau muhasabah diri, sebaliknya merasa tidak membuat apa-apa kesalahan.

Bila Allah tarik balik rezeki di atas perbuatan kita, jangan menunding jari menyalahkan orang lain. Sedarlah,  perbaiki dan memohon keampunan dariNya.

Sekian catatan saya semoga membawa manfaat buat kita bersama. Jumpa lagi


Tuesday 15 September 2015

Plan hari jadi TAK jadi


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
Entry 29

Terlintas di fikiran kali ini mahu buat kejutan sambutan hari lahir anak. Kebiasaan bagi saya sekeluarga akan bertanya, apa yang mereka mahu.

Kami mula menyusun atur, ianya bukanlah secara besar-besaran hanya melibatkan keluarga sahaja. Itu cara kami mengeratkan kasih sayang dan menghargai antara satu sama lain.

Kami memasak bersama dan menu pilihan ialah burger kentang, ayam goreng dan salad serta ada juga koktail buah-buahan.

Sudah cuba di sorok sebaik mungkin  bila kek di bawa balik dengan berbungkus plastik hitam, elok pula si anak keluar dari bilik, bocorlah semuanya. "Mama beli kek" tegur along.

Saya tersenyum mengangguk. Biarpun tidak menjadi, kami seronok menghabiskan masa di hujung minggu bersama. Lain kali mahu buat kejutan pastikan orang tersebut tiada di rumah, baru betul.

Jom layan gambar, berminat mahu buat koleksi untuk anak-anak boleh cari saya di no 300 Up-town Danau Kota. 

Monday 14 September 2015

Hujan oh hujan


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
Entry 28

Bagi yang menjalankan perniagaan di tempat terbuka seperti pasar malam, bazar dan ekspo, keadaan cuaca menjadi cabaran.

Bila angin kencang di susuli hujan lebat, payung atau khemah bukan tempat perlindungan terbaik.

Biasa sahaja terjadi barang habis basah bila hujan lebat tetiba datang, khemah patah atau khemah di terbangkan angin.

Barang-barang yang basah tidak boleh di simpan. Terperap membuatkan pakaian berbau hapak. Ianya harus di bawa balik dan di keringkan.

Habis ruang di dalam rumah di penuhi barang-barang. Di sebabkan kualiti barang yang elok, warnanya tidak luntur walaupun bercampur.

Sudah tertulis rezeki, kesemua barang tersebut habis di jual dalam masa sebulan sahaja. Itulah antara cabaran di dalam diari bisnes kali ini.

Sekian, jumpa lagi

Sunday 13 September 2015

Hamba duit


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
Entry 27

Perasaan dengki yang kuat boleh menyebabkan seseorang hilang pertimbangan, berusaha menjatuhkan bisnes orang lain demi kepuasan sendiri.

Persoalannya, mengapa mesti mengkhianati untuk menaikkan taraf hidup? Adakah orang lain tidak memerlukan duit sebagaimana kita? Bagaimana mereka mahu menyara kehidupan bila kita berusaha menyekat rezeki  mereka dengan melakukan sihir.

Pastinya setiap orang memerlukan duit tetapi mengapa harus menjadi hamba duit ? Tidak pernah merasa cukup atau bersyukur dengan rezeki sebaliknya sentiasa mendambakan lebih dan lebih lagi.

Bukan menjadi kesalahan andai kita mahu mengubah kehidupan, berusaha dan bekerja keras memang sangat perlu. Di susuli pengetahuan maka lebih mantap.

Harus ingat juga, tawakal juga perlu, bersedekah juga perlu dan keikhlasan bekerja juga perlu, ianya bukan sekadar mengerah keringat tetapi memberi kekuatan dan semangat.

Semoga setiap apa yang kita lakukan di berkati Allah, peringatan buat diri saya dan kita semua.
Sekian, jumpa lagi.



Wednesday 9 September 2015

Potensi


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
Entry 26

Kenali diri kita dan anugerah yang ada, kita di beri bakat tersendiri tinggal lagi cara kita mencari gali, mengasah dan mengembangkan bakat tersebut.

Ada yang sedar bakat mereka sedari kecil, ada pula meningkat remaja dan ada juga yang sampai ke peringkat dewasa, masih tercari-cari bakat yang ada pada dirinya.

Potensi yang di miliki contoh seseorang yang berbakat memasak, menjahit, melukis, menulis dan lain-lain.

Perbezaan antara bakat dan minat.
Minat- kecenderungan terhadap sesuatu manakala bakat- anugerah yang di miliki seseorang dan kaitan antaranya sangat erat.

Jom kita cari dan kembangkan bakat kita sehingga ia membuahkan hasil terbaik.
Sekian perkongsian kali ini, jumpa lagi.

Last minute


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
Entry 25

Anak oh anak,
Terasa mamai (pening kepala) manakan tidak,  mahu tidur hati tidak senang, teringat anak masih sibuk menyiapkan kerja-kerjanya.

Jam sudah menunjukkan angka 4 pagi. Boleh pula buat silap pasang jarum mesin jahit. Patut jahit lepas tu tetas kemudian jahit lagi-tetas lagi. Menangis bila sudah stress tengok jahitan bermasalah.

Inilah akibatnya suka buat kerja di saat-saat akhir. Bukan hanya menyusahkan diri sendiri tetapi melibatkan orang lain juga. Bila sudah kelam-kabut semua tidak menjadi. Pagi nanti pula kena buat presentation.

Syukur alhamdulillah pukul 7.30 pagi semua siap urusan anak. Urusan mama tergendala.

Jumpa lagi.

Monday 7 September 2015

DUIT


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
Entry 24

Percayakah kita dengan rezeki yang datang, bukan dari sesuatu selain dari Allah. Kalau kita benar-benar percaya dan yakin maka tidak perlu gentar dengan apapun dugaan.

Bila Allah menentukan rezeki itu milik kita, tiada sesiapa mampu merampasnya, akan sampai kepada kita dengan cara terbaik.

Jadi kenapa perlu ada sihir ?

Perkara pelik di dalam dunia perniagaan adalah pelaris. Jika mahu berniaga pelaris di cari dulu. Mengapa ?

Risau pelanggan tidak nampak kedai, risau juga tidak nampak barang atau barangkali lebih risau pelanggan membeli di kedai lain.

Itu perihal pelaris, yang lebih teruk bila hati mula berdengki. Melakukan sihir bagi menutup perniagaan orang lain.

Perbuatan tersebut hanya akan mengundang bala kepada diri kita sendiri. Bila kita menutup rezeki orang Allah tidak izin tidak akan berlaku.

Sekarang kita bayangkan pula Allah menutup rezeki kita di sebabkan perbuatan kita tadi. Kepada siapa kita boleh mengadu.

Siapa yang mampu membuka rezeki yang Allah tutup ?

Berserahlah kepada Allah, mohon pertolonganNya, bukan menyekutukan Allah serta yakinlah rezeki kita milik Allah.

Sedikit tetapi berkat lebih baik dari kaya yang tidak pernah cukup.

Gelombang


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
Entry 23

Ujian bukan sekadar datang menjentik diri kita, kadang-kala ianya boleh menjadi segunung gelombang yang mengubah hidup kita.

Jangan terlalu merasa gah apabila kita melihat ujian yang mungkin mudah bagi kita tetapi sukar buat orang lain, mudah buat anda, tidak pada saya begitu juga sebaliknya.

Penerimaan setiap orang berbeza, begitu juga cara menghadapinya. Menghormati cara orang lain lebih baik dari berlagak pandai mengajar sesuatu yang kita sendiri tidak tahu penyelesaiannya.

Contoh, jatuh bangun di dalam dunia perniagaan. Bagi perniagaan besar sudah pasti cabaran juga besar. Bagi peniaga sederhana boleh jadi cabaran juga sederhana tetapi bagi peniaga kecil, adakah cabaran yang datang kecil-kecil sahaja ?

Sudah tentu ujian yang kecil itu menjadi begitu besar bagi seorang peniaga kecil yang baru mendalami selok belok dunia perniagaan.

Demikian juga seseorang yang baru memulakan dengan seseorang yang sudah lima tahun berniaga mestilah berbeza cara mengatasi setiap masalah.

Belajar dari kesilapan, paling baik kalau kita mampu belajar dari kesilapan orang lain maka persediaan untuk melangkah menjadi lebih lancar.

Sebagai orang dewasa,hadapilah ujian dengan cara dewasa. Jangan mudah melenting atau berputus asa. Mohon pertolongan Allah dan ingatlah rahmat Allah melebihi segalanya.

" kekuatan tidak di ukur dari kemampuan fizikal tetapi ianya datang dari semangat yang tidak pernah mengalah"

Sekian dari saya. Jumpa lagi

Berminat untuk membeli t-shirt askar buat anak-anak boleh tinggalkan pesanan di sini atau berkunjung ke tapak 300 up-town Danau Kota.