Wednesday 30 September 2015

Rungutan


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
Entry 33

Kita merungut bila terpaksa melakukan sesuatu bukan di atas keinginan kita contoh benda yang melibatkan duit, masa atau orang lain.

Duit bila tidak cukup atau seringkali di pinjam, masa bila kena menunggu dan orang lain bila sewenangnya mempergunakan kita.

Rungutan menjadikan kita tidak redha di atas setiap perbuatan, kadangkala terjadi tanpa kita sedari ataupun terperangkap dengan rasa tidak puas hati.

Adakah merungut menyelesaikan masalah, menghilangkan ketegangan atau menenangkan hati. Sudah tentu tidak bukan.

Walau terjadi bukan atas permintaan mungkin di sebabkan persekitaran yang menyebabkan hilang pertimbangan ianya tetap harus dikawal supaya sikap negatif ini tidak memudaratkan.

Jangan biar rungutan terus menghuni diri. Seharusnya kita perlu bijak bertindak menangani diri kita dan orang lain. Sekian catatan buat kali ini. Jumpa lagi

Sebelum terlupa, stok baru baju sudah tiba bagi bayi berusia tiga bulan ke atas. Berminat boleh tinggalkan pesanan di sini atau datang terus ke lot 300 Uptown Danau Kota.

Thursday 17 September 2015

Persaingan


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
Entry 32

Dalam kehidupan ini, kita memang bersaing sama ada sedar ataupun tidak.  Persaingan berlaku di dalam diri bila kita berlawan untuk menjadi lebih baik atau lebih buruk.

Persaingan boleh berlaku bila kita merasakan kita mampu lakukan sesuatu lebih baik dari orang lain. Baik dalam keluarga atau dengan jiran tetangga.

Persaingan berlaku di dalam perhubungan suami isteri bila masing-masing tidak mahu mengalah, bersaing benda yang elok sangat bagus. Jangan pula bersaing perkara yang buruk.

Begitu juga persaingan dalam perniagaan. Ada yang menaikkan kita, ada pula yang akan menjatuhkan kita.

Saingan yang menjatuhkan, masing-masing berlumba menurunkan harga. Mahu mematikan antara satu sama lain.

Bila makan modal, tidak mampu membayar gaji pekerja, sewa kedai tertunggak dan akhirnya bermasalah.

Bijaklah bersaing, kenali pesaing kita supaya tidak terperangkap dalam persaingan tidak sihat.

Selamat bersaing. Semoga kita menjadi lebih baik dengan izin Allah.sekian jumpa lagi.

Bersih


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
Entry 31

Sanggupkah kita makan bila melihat pekerja di sesebuah kedai makan atau restoran yang menyenduk nasi atau lauk ke dalam pinggan di banjiri peluh.

Memang sesetengah orang sangat kuat berpeluh, haruskah di biarkan peluh itu menitis. Bukahkah lebih baik di kesat dahulu.

Bagaimana pula bila melihat seorang pekerja membuat air, mengorek hidung dan kuku pula kotor.

Bukan bermaksud membuat anda kembang tekak tetapi ini kebiasaan terjadi bila mengambil pekerja asing bekerja.

Bab kebersihan di pandang ringan, mereka mungkin sudah biasa begitu. Adakah kita juga biasa ? Bagaimana bila anda melihat perkara sebegini depan mata ?

Majikan pula jangan hanya fikir keuntungan, mahu bayar gaji murah. Sering-seringlah lakukan pemeriksaan ke atas pekerja.

Makanan di rumah yang terbaik, lebih sanggup menahan lapar dari makan makanan tidak bersih. Pastikan apa yang masuk ke mulut kita bukan virus yang membawa penyakit.

Semoga bermanfaat dan jumpa lagi.

Jom intai saya di tapak 300 up-town Danau Kota.

Wednesday 16 September 2015

Balasan


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto : Shamliah Ibrahim
Enrty 30

Saya ingin berkongsi satu kisah, semoga menjadi tauladan buat kita. Dalam apa jua yang kita lakukan.

Seseorang yang saya kenal, memiliki kedai yang tidak putus di kunjungi pelanggan setiap hari, setiap hujung bulan pula ke luar negara mengambil stok barangan baru.

Membuka banyak cawangan kedai dan ramai pekerja. Punya kehidupan yang mewah.

Tetapi semua itu hanya sementara, bila tidak bersyukur. Balasan yang dapat lebih teruk dari kesenangan yang di kecapi.

Kini kedai sudah pun di tutup, terlantar sakit dan asyik berulang alik ke hospital, puncanya sihir dan suka mengunakan ilmu hitam.

Membenci tanpa sebab, cemburu tanpa alasan, sehingga tergamak menutup rezeki orang lain.

Padahal orang yang di ganggu itu tidak menganggu perniagaan atau hidupnya. Hanya di sebabkan beberapa masalah kecil, wujud antara mereka berpunca dari sikap sendiri yang tidak mahu mengalah.

Begitulah sesetengah orang bukan mahu menilai atau muhasabah diri, sebaliknya merasa tidak membuat apa-apa kesalahan.

Bila Allah tarik balik rezeki di atas perbuatan kita, jangan menunding jari menyalahkan orang lain. Sedarlah,  perbaiki dan memohon keampunan dariNya.

Sekian catatan saya semoga membawa manfaat buat kita bersama. Jumpa lagi


Tuesday 15 September 2015

Plan hari jadi TAK jadi


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
Entry 29

Terlintas di fikiran kali ini mahu buat kejutan sambutan hari lahir anak. Kebiasaan bagi saya sekeluarga akan bertanya, apa yang mereka mahu.

Kami mula menyusun atur, ianya bukanlah secara besar-besaran hanya melibatkan keluarga sahaja. Itu cara kami mengeratkan kasih sayang dan menghargai antara satu sama lain.

Kami memasak bersama dan menu pilihan ialah burger kentang, ayam goreng dan salad serta ada juga koktail buah-buahan.

Sudah cuba di sorok sebaik mungkin  bila kek di bawa balik dengan berbungkus plastik hitam, elok pula si anak keluar dari bilik, bocorlah semuanya. "Mama beli kek" tegur along.

Saya tersenyum mengangguk. Biarpun tidak menjadi, kami seronok menghabiskan masa di hujung minggu bersama. Lain kali mahu buat kejutan pastikan orang tersebut tiada di rumah, baru betul.

Jom layan gambar, berminat mahu buat koleksi untuk anak-anak boleh cari saya di no 300 Up-town Danau Kota. 

Monday 14 September 2015

Hujan oh hujan


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
Entry 28

Bagi yang menjalankan perniagaan di tempat terbuka seperti pasar malam, bazar dan ekspo, keadaan cuaca menjadi cabaran.

Bila angin kencang di susuli hujan lebat, payung atau khemah bukan tempat perlindungan terbaik.

Biasa sahaja terjadi barang habis basah bila hujan lebat tetiba datang, khemah patah atau khemah di terbangkan angin.

Barang-barang yang basah tidak boleh di simpan. Terperap membuatkan pakaian berbau hapak. Ianya harus di bawa balik dan di keringkan.

Habis ruang di dalam rumah di penuhi barang-barang. Di sebabkan kualiti barang yang elok, warnanya tidak luntur walaupun bercampur.

Sudah tertulis rezeki, kesemua barang tersebut habis di jual dalam masa sebulan sahaja. Itulah antara cabaran di dalam diari bisnes kali ini.

Sekian, jumpa lagi

Sunday 13 September 2015

Hamba duit


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
Entry 27

Perasaan dengki yang kuat boleh menyebabkan seseorang hilang pertimbangan, berusaha menjatuhkan bisnes orang lain demi kepuasan sendiri.

Persoalannya, mengapa mesti mengkhianati untuk menaikkan taraf hidup? Adakah orang lain tidak memerlukan duit sebagaimana kita? Bagaimana mereka mahu menyara kehidupan bila kita berusaha menyekat rezeki  mereka dengan melakukan sihir.

Pastinya setiap orang memerlukan duit tetapi mengapa harus menjadi hamba duit ? Tidak pernah merasa cukup atau bersyukur dengan rezeki sebaliknya sentiasa mendambakan lebih dan lebih lagi.

Bukan menjadi kesalahan andai kita mahu mengubah kehidupan, berusaha dan bekerja keras memang sangat perlu. Di susuli pengetahuan maka lebih mantap.

Harus ingat juga, tawakal juga perlu, bersedekah juga perlu dan keikhlasan bekerja juga perlu, ianya bukan sekadar mengerah keringat tetapi memberi kekuatan dan semangat.

Semoga setiap apa yang kita lakukan di berkati Allah, peringatan buat diri saya dan kita semua.
Sekian, jumpa lagi.



Wednesday 9 September 2015

Potensi


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
Entry 26

Kenali diri kita dan anugerah yang ada, kita di beri bakat tersendiri tinggal lagi cara kita mencari gali, mengasah dan mengembangkan bakat tersebut.

Ada yang sedar bakat mereka sedari kecil, ada pula meningkat remaja dan ada juga yang sampai ke peringkat dewasa, masih tercari-cari bakat yang ada pada dirinya.

Potensi yang di miliki contoh seseorang yang berbakat memasak, menjahit, melukis, menulis dan lain-lain.

Perbezaan antara bakat dan minat.
Minat- kecenderungan terhadap sesuatu manakala bakat- anugerah yang di miliki seseorang dan kaitan antaranya sangat erat.

Jom kita cari dan kembangkan bakat kita sehingga ia membuahkan hasil terbaik.
Sekian perkongsian kali ini, jumpa lagi.

Last minute


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
Entry 25

Anak oh anak,
Terasa mamai (pening kepala) manakan tidak,  mahu tidur hati tidak senang, teringat anak masih sibuk menyiapkan kerja-kerjanya.

Jam sudah menunjukkan angka 4 pagi. Boleh pula buat silap pasang jarum mesin jahit. Patut jahit lepas tu tetas kemudian jahit lagi-tetas lagi. Menangis bila sudah stress tengok jahitan bermasalah.

Inilah akibatnya suka buat kerja di saat-saat akhir. Bukan hanya menyusahkan diri sendiri tetapi melibatkan orang lain juga. Bila sudah kelam-kabut semua tidak menjadi. Pagi nanti pula kena buat presentation.

Syukur alhamdulillah pukul 7.30 pagi semua siap urusan anak. Urusan mama tergendala.

Jumpa lagi.

Monday 7 September 2015

DUIT


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
Entry 24

Percayakah kita dengan rezeki yang datang, bukan dari sesuatu selain dari Allah. Kalau kita benar-benar percaya dan yakin maka tidak perlu gentar dengan apapun dugaan.

Bila Allah menentukan rezeki itu milik kita, tiada sesiapa mampu merampasnya, akan sampai kepada kita dengan cara terbaik.

Jadi kenapa perlu ada sihir ?

Perkara pelik di dalam dunia perniagaan adalah pelaris. Jika mahu berniaga pelaris di cari dulu. Mengapa ?

Risau pelanggan tidak nampak kedai, risau juga tidak nampak barang atau barangkali lebih risau pelanggan membeli di kedai lain.

Itu perihal pelaris, yang lebih teruk bila hati mula berdengki. Melakukan sihir bagi menutup perniagaan orang lain.

Perbuatan tersebut hanya akan mengundang bala kepada diri kita sendiri. Bila kita menutup rezeki orang Allah tidak izin tidak akan berlaku.

Sekarang kita bayangkan pula Allah menutup rezeki kita di sebabkan perbuatan kita tadi. Kepada siapa kita boleh mengadu.

Siapa yang mampu membuka rezeki yang Allah tutup ?

Berserahlah kepada Allah, mohon pertolonganNya, bukan menyekutukan Allah serta yakinlah rezeki kita milik Allah.

Sedikit tetapi berkat lebih baik dari kaya yang tidak pernah cukup.

Gelombang


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
Entry 23

Ujian bukan sekadar datang menjentik diri kita, kadang-kala ianya boleh menjadi segunung gelombang yang mengubah hidup kita.

Jangan terlalu merasa gah apabila kita melihat ujian yang mungkin mudah bagi kita tetapi sukar buat orang lain, mudah buat anda, tidak pada saya begitu juga sebaliknya.

Penerimaan setiap orang berbeza, begitu juga cara menghadapinya. Menghormati cara orang lain lebih baik dari berlagak pandai mengajar sesuatu yang kita sendiri tidak tahu penyelesaiannya.

Contoh, jatuh bangun di dalam dunia perniagaan. Bagi perniagaan besar sudah pasti cabaran juga besar. Bagi peniaga sederhana boleh jadi cabaran juga sederhana tetapi bagi peniaga kecil, adakah cabaran yang datang kecil-kecil sahaja ?

Sudah tentu ujian yang kecil itu menjadi begitu besar bagi seorang peniaga kecil yang baru mendalami selok belok dunia perniagaan.

Demikian juga seseorang yang baru memulakan dengan seseorang yang sudah lima tahun berniaga mestilah berbeza cara mengatasi setiap masalah.

Belajar dari kesilapan, paling baik kalau kita mampu belajar dari kesilapan orang lain maka persediaan untuk melangkah menjadi lebih lancar.

Sebagai orang dewasa,hadapilah ujian dengan cara dewasa. Jangan mudah melenting atau berputus asa. Mohon pertolongan Allah dan ingatlah rahmat Allah melebihi segalanya.

" kekuatan tidak di ukur dari kemampuan fizikal tetapi ianya datang dari semangat yang tidak pernah mengalah"

Sekian dari saya. Jumpa lagi

Berminat untuk membeli t-shirt askar buat anak-anak boleh tinggalkan pesanan di sini atau berkunjung ke tapak 300 up-town Danau Kota.

Bila pegawai DBKL membuat pemeriksaan lesen


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto : Shamliah Ibrahim
Entry 22

Tak senang duduk jadinya. Sekejap-sekejap tengok, sudah sampai belum. Begitulah keadaan bila pegawai dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur membuat pemeriksaan lesen perniagaan.

Bukan buat salah pun, berdebar je lebih. Nanti jenuh bersoal jawab " mana lesen " "tapak sudah terlebih" dan " kenapa buat penyambungan" atau lebih parah bila ditanya "kenapa lesen tamat tempoh"

Bila membuat kesalahan memang kena saman. Bagi peniaga untuk mengikut peraturan memang susah, pantang ada ruang kosong seboleh mungkin di guna pakai sebaiknya.

Kadang-kala tak logik juga, tapak seluas 3 kaki panjang × 6 kaki lebar. Barang apa yang hendak di pamerkan. Dilema bagi peniaga di sesetengah tempat.

Di beberapa kawasan baru pula 8×8 keluasan tapaknya. Mungkin bagi sesetengah orang akan fikir, carilah tempat lain atau sewalah tempat lebih besar.

Bagi yang mampu tiada masalah tetapi bagi peniaga kecil ianya agak membebankan. Inilah antara cabaran bagi peniaga statik, pasar malam atau bazar di sekitar bandaraya Kuala Lumpur.

Pandai jawab maka terlepaslah kalau tidak terimalah surat cinta. Sekian perkongsian saya. Jumpa lagi

Cabaran


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : carian google
Entry 21

Permulaan sangat baik perniagaan juga memuaskan. Boleh di katakan setiap hari tabungan terus meningkat. Beberapa tahun berada di zon selesa.

Keinginan menjadi besar bila mahukan rumah, kereta dan lot kedai. Jiwa muda hanya fikir mahu kumpul kesenangan. Satu persatu di kutip di awal perjalanan. Tanpa sedar mimpi di sergah.

Pemindahan berlaku dari tapak asal ke tempat baru, walaupun dalam lingkungan kawasan yang sama,tetapi Jalan Haji Taib punya misteri sendiri.

Ramai peniaga melayu tersungkur, ianya berlaku di sekitar tahun 1997 apabila negara juga mengalami kegawatan ekonomi.

Perit melalui bila pengeluaran melebihi pendapatan. Ramai yang mengeluh dan terus mengeluh, perniagaan semakin merosot.

Melihat anak-anak yang masih kecil dan hutang membelenggu fikiran. Bagaimana harus bertahan keadaan pula semakin merumitkan. Cuba untuk menukar produk jualan tetapi situasinya masih serupa.

Memandang sekeliling seorang demi seorang rakan niaga keluar dari gelanggang. Memilih kerjaya lain untuk kelangsungan hidup atau pulang ke kampung halaman.

Masihkah saya terus di sini?

Sedar ia bukan milik saya lagi kalau terus bertahan.

"Benih yang baik di campak ke laut menjadi pulau". Sama-sama kita jadi benih yang baik supaya tercampak ke mana pun tidak hanyut atau karam.
Sekian buat kali ini. jumpa lagi



Sunday 6 September 2015

Permulaan


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto : Shamliah Ibrahim
         & carian google
Entry 20

Ianya bermula di Chow Kit sekitar tahun 1994 setelah seorang rakan ingin menjual tapak perniagaan dan mahu pulang ke kampung. Peluang tersebut di sambar suami dan di hadiahkan kepada saya.

Barangan hardware menjadi pilihan di sebabkan permintaan yang tinggi dari warga indonesia yang bekerja kontrak. Boleh di katakan hampir separuh para peniaga menjual barangan hardware di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman pada masa itu.

Persaingan sengit tetapi permintaan tinggi, membuatkan kami tolong menolong antara satu sama lain. Jika kekurangan sesuatu barangan di gerai , saya akan membantu jiran menjualnya.

Begitulah cara kami berniaga,saling sokong menyokong dan tiada hasad dengki. Hubungan erat tersebut kekal sehingga kini. Ada di antara rakan niaga dulu masih berjiran dengan saya di bazar larut malam Danau Kota.

Hujung minggu pastinya sangat meriah. Pekerja-pekerja kontrak yang berada di luar Kuala Lumpur datang ke kota mencari barangan pertukangan.

Bukan hanya membeli untuk kegunaan sendiri sebaliknya mereka turut membeli bila kawan-kawan mengirim. Bagi peniaga, kami bersedia dengan stok barangan tambahan. Itu lah di antara kenangan manis saya.

Teringat lagu arwah Sudirman Haji Arshad bertajuk Chow Kit Road apabila menulis catatan ini. Mungkin generasi  hari ini tidak begitu mengenali Chow Kit  yang cukup popular suatu ketika dulu.

Sekian catatan dari saya. Jumpa lagi.

Bagaimana penglibatan secara online


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
Entry 19

Sering terbaca mengenai akademi bekerja di rumah( ABDR) dari facebook anak saudara Nur Azlina Najib.

Mula selongkar untuk mengetahui lebih mengenai blog penulisan bisnes online. Hati sudah terdetik, pertanyaan demi pertanyaan mula menyusuli messenger anak saudara.

Cuba untuk mengendurkan keinginan yang kuat bila rasa mampukah aku? Bermacam persoalan bermain di minda. Dua minggu berfikir.

Allah melorongkan laluan bila itulah ketentuan. Bertemu cikgu Anys Idayu Zakaria yang begitu komited mengajar, memberi tips serta tidak jemu melayan kerenah saya yang agak lambat dalam menyelesaikan setiap tugasan.

Maka bermulalah penglibatan saya secara online. Saat ini saya rasa sangat bersyukur menjadi sebahagian dari ABDR. Menulis dari hati, pada masa yang sama boleh berniaga. Bila kita lakukan apa yang kita suka kepuasan pasti akan menyusul. Itulah yang saya rasa.

Terima kasih kepada pengasas ABDR puan Masayu Ahmah untuk ukhwah yang terbina dan terima kasih juga buat semua.

Sekian, jumpa lagi.

Saturday 5 September 2015

Tepuk selera, tanya poket


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
Entry 18

Tawar-menawar adat dunia perniagaan. Tentu kita semua cukup arif  di dalam bab ini. Pelbagai cara memujuk di gunakan asal kita dapat memiliki dengan harga yang kita mahu.

Ada juga di antara kita menggunakan cara paksa. Mengugut mahu membeli pada harga yang kita tawarkan, bila peniaga tidak dapat menurut kemahuan itu kita lebih rela tidak membeli.

Bermacam ragam bila tawar-menawar ini berlaku. Ramai juga yang tidak kisah membayar asalkan berpuas hati dengan produk yang di tawarkan.

Bagaimana dengan permintaan tawaran, separuh dari harga sesuatu produk.   Contoh rm 10 di tawar menjadi rm 5. Mahukah peniaga menjualnya ?

Adakah ini tawaran yang biasa anda buat? Beli ikan di pasar minta kurang separuh harga.

Teringat pesan seorang kawan bila saya mahu ke Ho Chi Minh city. Bila tawar mintalah kurang dari separuh harga kerana itu situasi biasa di Ben Thanh market. Peniaga di sana meletakkan harga lebih tinggi maka kita di saran supaya pandai tawar menawar. Jangan tertipu pesannya lagi.

Begitu juga di beberapa tempat lain yang pernah saya kunjungi. Kebanyakkannya boleh di tawar kurang dari separuh harga.

Kita yang tertipu sebenarnya dari mahu berbelanja sederhana terus rambang mata, ingat harga murah maka sudah terlebih membeli pula. Taktik mereka berjaya mengosongkan poket kita. Padahal itu harga yang biasa di tempat mereka.

Kepada anda berpadalah bila mahu tawar menawar. Tiada peniaga mahu menjual apabila rugi. Tepuk selera, tanya poket. Selamat berbelanja.
Sekian, semoga jumpa lagi.



Nilai tambah bagi diri


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : carian google
( entry 17)

Di saat sukar kita bakal melewati hari-hari yang mendatang, kita pasti memerlukan sokongan dan semangat dari orang yang berada di sekeliling kita.

Menangani situasi seperti ini bukan simpati yang di harapkan. Kekuatan dari sentuhan, pelukan dan kasih yang tulus cukup memberi makna.

Bila teruji dengan sesuatu yang tidak terjangka, menjadi penghuni di dalam diri kita. Bukan tanda Allah tidak sayang, bukan tanda Allah tidak kasih. Sedarkah  itu tanda Allah mahu kita kembali kepadaNya.

Berserahlah dan berdoalah semoga ujian itu menjadi nilai tambah buat kita untuk naik ketingkat lebih baik. Cara kita melihat dan menilai itu yang berbeza.

Jadilah manusia yang baik kerana sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada orang lain.

Sekian catatan hari ini. Jumpa lagi

Friday 4 September 2015

Titis air mata


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto : carian google
(Entry 16)

Mudah terasa (sensitif) hanya teguran atau sindiran, bisa menitiskan air mata apatah lagi jika dari insan yang begitu dekat di hati.

Walau sekeras manapun hati seorang wanita, dia tetap lembut, nalurinya halus dan manja. Bukan kemahuan yang melampau cukup sekadar perhatian dan kasih sayang, mampu mencairkan dirinya.

Jangan mudah menilai dari luaran dan melabelkan mudahnya menjadi wanita.

Bagi surirumah sepenuh masa pun tetap punya cabaran apatah lagi wanita yang bekerjaya.

Adakah wanita suka memikirkan benda yang remeh-temeh?

Adakah menguruskan rumah tangga begitu enteng?

Bila wanita tidak memikirkan masalah yang berat atau membebankan
maknanya dia melapangkan diri untuk keluarganya.

Urusan rumahtangga menjadi mudah kerana wanita tekun dan sabar melakukannya.

Kebiasaannya tiada yang terlepas pandang, baik uruskan suami atau anak-anak seboleh mungkin mahu buat yang terbaik. Itulah wanita.

Hargailah selagi depan mata, di situlah terletak bahagia.

Maaf lari tajuk kerana itulah wanita. Sekadar perkongsian kita bersama. Jumpa lagi.



Kemerosotan selepas musim perayaan


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
(Entry 15)

Selepas musim perayaan, kebiasaannya bagi peniaga pakaian akan mengalami kemerosotan yang agak lama.

Perniagaan meningkat beberapa bulan sebelum puasa dan bila di bulan puasa pula peningkatan ketiga atau empat kali ganda dari hari-hari biasa. Itu antara musim yang sangat sibuk.

Melihat orang ramai lalu-lalang di depan gerai menjadi rutin biasa. Kena faham juga kekeringan poket selepas sakan berbelanja.

Kebarangkalian untuk makan modal atau lebih teruk terpaksa gulung tikar biasa berlaku, bila keadaan semakin gawat.

Berjimat cermatlah semasa banyak dan cuba mengawal sebaik mungkin semasa kurang. Cara kita berbelanja menentukan kelangsungan perniagaan kita.

Bagi peniaga besar mungkin tak jadi kudis tetapi bagi peniaga kecil bertahanlah, jangan berputus asa dan mintalah pada AL- RAZZAQ. Moga di bukakan rezeki kita seluasnya.

"BARANGSIAPA MENGHADAPI KESEMPITAN DALAM REZEKINYA, KEMUDIAN DIA MEMINTA-MINTA KEPADA ORANG LAIN, MAKA KESEMPITAN ITU TIDAK AKAN HILANG...
DAN BARANGSIAPA MENGHADAPI KESEMPITAN DALAM REZEKI KEMUDIAN DIA MEMINTA KEPADA ALLAH, MAKA ALLAH MENYEDIAKAN KEPADANYA REZEKI DENGAN SEGERA, SAMA ADA CEPAT ATAU DI LEWATKAN SEDIKIT".
 Hadis riwayat At-Tirmizi.

Sekian, semoga jumpa lagi.



Tuesday 1 September 2015

Model-modelku, anak-anakku


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
(Entry 14)

" pattern ni ada lagi...kak ?" Tanya pelanggan sambil membelek pakaian yang di pakai oleh model saya.

" warna macam ni ada lagi tak?" Atau " saya nak yang sama macam ni ye..."

Begitulah ayat yang sering di lontarkan pelanggan apabila melihat model-model saya mengayakan design baru.

Setiap hujung minggu anak-anak akan ikut saya ke gerai. Sering juga mereka temankan saya mencari barang-barang baru. Kadang-kadang saya biarkan mereka memilih corak atau fesyen yang di sukai. Selalunya fesyen yang mereka gayakan laris di jual.

Ada di antara pelanggan sanggup menunggu stok baru tiba, bila saya kehabisan barang yang di ingini. Begitu kuat daya tarikan bila ada model yang memakai dan pada masa yang sama membantu saya menjual.

Ada ketika juga, rasa geli hati melihat keletah si manja yang tidak mahu menanggalkan baju yang di cuba, mahu terus memakai pakaian itu, pening ibubapa mereka di buatnya.

Itulah antara kenangan manis semasa anak-anak saya masih kecil, kini masing-masing sudah meningkat remaja. Hanya patung menjadi pengganti. Agak ketara juga apabila di gayakan oleh model dan patung.

Bila pakaian di gayakan oleh model ia lebih mesra dan memberi impak kepada pelanggan, auranya lebih terserlah manakala patung pula harus di suai padan dengan aksesori untuk nampak lebih berseri. 

Sekian catatan saya buat kali ini. Jumpa lagi


Chow Kit...Di tahun 2001


Teks : Shamliah Ibrahim
Foto  : Shamliah Ibrahim
(Entry 13)

Saya mula menjual pakaian kanak-kanak pada tahun 2001 di bazar ramadhan Jalan Tuanku Abdul Rahman (Chow kit)

Bermodalkan rm lima ribu, untuk kanopi bersaiz 20×20, barangannya nampak agak sedikit. Tambahan pula saya mencari produk yang berkualiti menjadikan modal yang besar dan kuantiti yang terhad.

Persaingan pula agak sengit dari sebuah gedung membeli belah yang terletak di hadapan lot kanopi. Bila mereka tidak berpuashati, pada mulanya mereka cuba mengawal barang. (kebetulan mengambil barang di tempat yang sama) mengugut untuk membatalkan kontrak dengan pemborong sehingga pemborong cuba menyekat barang tidak mahu menjual pada saya. Ianya tidak melunturkan semangat saya untuk terus mencuba.

Hasil perbincangan, jalan penyelesaian di ambil dan pemborong memberi kebebasan kepada saya untuk memilih dahulu apa design yang saya mahu dan membezakan barangan kami. ( barang yang saya tidak ambil di hantar ke gedung tersebut)

Dari segi sambutan, ianya sangat memuaskan bila ibubapa mencari pakaian baru buat anak-anak di hari raya. Kemeriahan dan kesibukkan orang ramai berbelanja menghidupkan suasana di sekitar kawasan Chow Kit pada masa itu berbanding kini ia agak sunyi dan lengang dari di kunjungi pengunjung.

Kebiasaan stok-stok barang habis di malam raya, suasana yang bingit dan sibuk bagaikan pesta. Orang ramai tidak menghiraukan penat berpuasa tetapi lebih mementingkan keperluan hari raya.

Di sebabkan permintaan terhadap pakaian kanak-kanak menurun selepas itu, saya hanya menjual di musim perayaan sahaja.

Kini ramai pengunjung memilih berbelanja di Jalan Masjid India. Walaupun padat dan bersesak ramai yang tidak kisah. Bagi mereka kepuasan berbelanja lebih utama.

Sekian dari saya moga berkesempatan untuk berkongsi catatan pengalaman lagi selepas ini. Jumpa lagi

Intailah saya di tapak 300 up-town Danau Kota.