Wednesday 26 August 2015

Kehilangan


Teks:Shamliah Ibrahim
(Entry 10)
Bismillahirahmanirrahim.
Setelah menerima panggilan telefon dari anak saudara menyatakan ayahnya pengsan. Saya, suami dan adik bergegas kerumahnya.
Seharian hujan menyebabkan keadaan lalulintas agak teruk apatah lagi pada waktu puncak, bila orang pulang kerja. Hampir dua jam terlekat di dalam kesesakkan yang sebenarnya ambil masa setengah jam sahaja untuk sampai. Nasib baik abang kedua sampai dulu  melihat keadaan abang edy ( abang sulung).
Jarak masa lebih kurang empat puluh minit dari panggilan pertama, saya mendapat khabar abang edy telah tiada. Telah pergi buat selamanya.
Terkejut ? memang ya. Sangat terkejut. Berita yang agak sukar untuk di terima. Tak mampu menahan sebak di jiwa, air mata menitis laju. Puas memujuk perasaan sendiri, mungkin mereka tersilap.
Baru sedar sikapnya berubah, hubungan kami agak dingin kebelakangan ini menandakan sesuatu rupanya. Salah saya kerana tidak menjernihkannya kembali, kerana buat abang edy berkecil hati. Niat sebenar ingin membiarkan abang edy sejuk hati dahulu, mungkin masa yang akan memulihkan keadaan tetapi ianya kesilapan yang besar, kita tidak tahu sampai bila urusan kita di dunia. Allah beri masa yang cukup, cuma saya tak gunakan peluang sebaiknya.
Jangan lakukan kesilapan begini. Biasa bagi hubungan adik-beradik bila berkecil hati, terasa atau sebagainya cuma bila sedar kesilapan betulkan semula. Jangan tangguh-tangguh.
Bukan hanya saya seorang yang merasa kehilangan tetapi seluruh keluarga kami. Abang edy di sayangi oleh semua. Sikapnya yang menghormati orang lain, pandai berbual, cukup terbuka dan boleh menerima pandangan orang lain membuatkan dirinya cukup disenangi.
Teringat semasa saya di hospital untuk melahirkan anak pertama, abang edy di sisi memberi kata- kata semangat. Sanggup tunggu sampai nurse ingat suami. Setiap kali waktu melawat pasti akan ada dirinya. Jasamu tak terbalas abang. Kini tinggal kenangan. Terbayang satu persatu. Terlalu banyak kenangan manis antara kita.
Melihat jasad terbujur kaku, pilunya hati ini. Tak terluah kesedihan. Dapat menemanimu, mencium dahi dan memeluk jasadmu memberiku kekuatan.
Dalam jiwa yang bercampur baur antara percaya atau tidak kami lunaskan semua tanggungjawab dari awal sampai akhir. Hanya itu bakti yang dapat kami beri di akhir perjalanannya.
Syukur Alhamdulillah, Allah permudahkan semuanya buat abang edy. Seorang abang yang tak lekang dengan ucapan terima kasih. Sampai kini masih terngiang- ngiang suaranya, gurau sendanya dan gelak tawanya.
Dia seorang abang yang baik, yang cukup memahami dan sentiasa ada dalam apa juga keadaan. Perginya pada umur 47 tahun. Belum sempat melihat kelahiran cucu pertama. Kiniku terasa kehilangan, pergimu takkan kembali.
Semasa luahan ini di tulis, baru selesai majlis tahlil kali ke 2. Kami redha Allah menjemputmu pulang, selesai sudah urusan abang edy di dunia. Hanya iringan doaku kirim, moga damai abang edy di sana.
Al- fatihah buatmu abangku Saidi Ibrahim.



No comments:

Post a Comment